OSEM Tips #3: Pembelajaran secara output yang lebih efektif

Sekiranya kebanyakan masa mengulang kaji digunakan hanya untuk membaca buku rujukan atau nota, pelajar tersebut mungkin sedang mengulang kaji secara tidak efektif. Hati - hati! Jika ini kaedah anda mengulang kaji, kemungkinan untuk anda gagal menjadi pelajar yang cemerlang di dalam peperiksaan adalah besar.

Adakah anda sedar bahawa terdapat dua aspek dalam pembelajaran iaitu input dan output? Pembelajaran output memerlukan minda bekerja secara aktif iaitu dengan cuba mengingati dan mengeluarkan semula pelajaran yang telah dipelajari.

Ketika di dewan peperiksaan, adakah pelajar diminta menghafal atau menjawab soalan? Sudah tentu menjawab soalan atau dengan kata lain mengeluarkan ilmu yang telah dipelajari. Ini berkait rapat dengan pembelajaran secara output.
Pembelajaran secara input:

  • Mendengar dalam kelas 
  • Menghadiri kelas tuisyen
  • Membaca buku
  • Membaca nota

Pembelajaran secara output:

  • Menulis nota ringkas
  • Menyebut semula nota 
  • Menulis tanpa merujuk
  • Membuat soalan latih tubi

Teknik ini yang berlaku ketika kita mendengar dan menyanyi lagu. Mendengar lagu adalah proses input lagu ke minda manakala menyanyi lagu adalah proses output lirik lagu keluar daripada minda. Oleh itu, jika kita ingin mengingati sesebuah lagu, cara yang terbaik adalah dengan mendengar dan menyanyikannya sekali gus. 


Mendengar lagu -> Menyanyi lagu bersama lirik -> Menyanyi sambil mendengar lagu -> Menyanyi


Bagaimana untuk mengaplikasikan pembelajaran secara output bagi mengulang kaji secara lebih efektif?


Minimalkan input, maksimumkan output.


  • Membuat nota ringkas bagi perkara yang baharu - Nota ringkas adalah sangat penting bagi menjimatkan masa mengulang kaji tanpa perlu berulang kali merujuk buku teks atau buku rujukan yang tebal dan mempunyai teks yang panjang.
  • Menggunakan suara untuk mengingat - Setelah membaca, cuba menyebut semula tanpa melihat bahan bacaan. Pastikan bacaan itu disebut sehingga dapat didengari. Ini akan merangsang minda untuk mengingat dengan lebih baik kerana kita menggunakan deria pandangan dan pendengaran dalam masa yang sama. Sekiranya terlupa, boleh merujuk semula nota. Ulang sehingga lancar.
  • Tulis semula nota - Tulis semula nota adalah salah satu strategi untuk mengingat dengan lebih berkesan. Sediakan beberapa kertas conteng dan tulis semula isi penting tanpa merujuk sebarang bahan rujukan. Tulisan ini tidak perlu disimpan atau ditulis dengan kemas. Nota yang dapat ditulis bermakna anda sudah berjaya mengingatinya. Rujuk semula nota sekiranya terdapat isi yang tertinggal dan ulang langkah yang sama.
  • Buat latihan - Latihan yang cukup adalah kunci kejayaan dalam peperiksaan. Melalui latihan, kita dapat menilai tahap kefahaman diri. Semak dan kenal pasti kesalahan setiap kali membuat latihan. Cuba melihat kembali kesilapan dan fahamkan. Boleh merujuk buku sekiranya terlupa dan perlu kefahaman lebih lanjut. Tambah isi penting yang terdapat di dalam latihan ke dalam nota ringkas. Selain itu, fokuskan juga untuk menyiapkan latihan separuh daripada masa yang diperuntukkan. Pada masa yang sama, pastikan anda membuat semakan apabila latihan telah selesai dijawab. Gunakan masa membuat latihan untuk melatih minda bagi menjawab dengan tepat dan pantas. Ini akan membantu kita menduduki peperiksaan dengan yakin. Membuat latihan juga dapat membantu kita untuk lebih fokus dan tidak mengantuk berbanding hanya membaca sahaja.
  • Membantu rakan dalam pelajaran - Pepatah mengatakan "harta yang dikongsi akan berkurangan tetapi ilmu yang dikongsi akan bertambah”. Setiap kali rakan kita menghadapi masalah tentang pelajaran, berilah tunjuk ajar kepadanya sehingga faham. Boleh merujuk buku jika perlu. Ini adalah satu pembelajaran output yang sangat berkesan dan secara tidak langsung boleh menambahkan keyakinan dan kefahaman kita sendiri.

Katakan kita mempunyai masa 1 jam untuk mengulang kaji satu pelajaran yang telah diajar dalam kelas. Sila rujuk cadangan masa di bawah bagi membantu anda;

Pelajaran baru:

  • Nota ringkas -> 10 minit
  • Proses mengingat -> 5 minit
  • Menulis semula nota -> 15 minit
  • Latihan dan semakan -> 35 minit


Ulang kaji pelajaran yang sudah dibuat nota:

  • Tulis semula nota -> 10 minit
  • Latihan dan semakan -> 50 minit



Selamat menjadi pelajar cemerlang Osem! 

Comments