Membuat nota adalah elemen yang sangat penting dalam proses pembelajaran. Ini kerana, nota telah terbukti dapat membantu menjimatkan masa mengulang kaji berbanding membaca buku teks dan buku rujukan yang tebal. Selain itu, proses membuat nota juga dapat membantu secara tidak langsung dalam mengingati isi-isi penting dalam sesebuah subjek.
Di sini kami kongsikan teknik menghasilkan nota pembelajaran pintar. Teknik ini mengutamakan proses menghasilkan nota dgn cepat, ringkas tetapi padat. Nota pintar dapat mengurangkan 85% masa yang diambil untuk mengulang kaji sesuatu topik berbanding mengulang kaji secara terus daripada buku teks.
Kaedah membuat nota pembelajaran pintar:
Separuh kertas A4 atau kertas kajang- Buat satu garisan di tengah kertas, pastikan nota ditulis hanya separuh daripada kertas. Ini akan membantu mengurangkan pergerakan mata dan membolehkan nota dibaca dengan lebih cepat.
Cipta bahasa pantas
- Gunakan simbol dan bahasa ringkas bagi perkataan yang sering berulang di dalam nota. Ini dapat membantu bagi mempercepatkan proses menulis nota. Contohnya :
- NOTA:
- Sains adalah kajian sistematik tentang alam semula jadi dan alam sekitar. Sains memberi manfaat bagi menyelesaikan masalah, memberi kehidupan yang lebih selesa dan menjadikan kita lebih sihat.
- Diringkaskan kepada:
- Sains* kjian sistematik alm semulajadi & alm sktr.
- Manfaat : selesaikan mslah, hidup selesa, sihat
- Penerangan: simbol * digunakan bagi mewakili definisi. Perkataan perlu dipendekkan tanpa mengubah maksud asal.
Hanya isi penting
- Pastikan hanya isi penting sahaja ditulis. Imbas keseluruhan topik dan lakukan beberapa latihan sebelum membuat nota. Proses ini dapat membantu dalam mengenal pasti isi yang benar - benar penting dalam sesebuah topik tersebut. Secara tegas, nota adalah perkara yang perlu diingati. Oleh tu, bagi pengiraan dan pemahaman, nota panjang tidak diperlukan namun cukup sekadar mencatit formula penting di dalamnya.
Tidak perlu cantik
- Jangan membuang banyak masa untuk membuat nota yang kemas dan cantik. Nota ini tidak perlu dihantar kepada guru bagi mendapatkan markah! Cukup sekadar individu tersebut faham akan notanya. Jika terlalu lama masa yang diambil, pelajar mungkin kesuntukan masa dan tidak dapat membuat nota untuk kesemua subjek.
Pen berwarna
- Terdapat kajian yang mengatakan nota berwarna dapat membantu pelajar mengingati dengan lebih baik. Oleh itu, pastikan sekurang - kurangnya menggunakan 3 jenis pen berwarna yang berbeza bagi menulis nota. Pensil boleh digunakan bagi membuat lakaran.
Masukkan nombor muka surat buku teks atau buku rujukan
- Sekiranya terjumpa gambar rajah atau konsep yang rumit, catitkan nombor muka surat buku teks atau buku rujukan yang terlibat supaya mudah untuk membuat rujukan pada masa hadapan.
- Kaedahnya;
- T-12 : Teks muka surat
- 12R1-51 : Buku rujukan 1 muka surat 51
Sediakan ruang kosong di bawah nota
- Fungsi ruang kosong ini disediakan adalah supaya memudahkan individu untuk menambah nota jika perlu. Keadaan ini sering terjadi setelah membuat beberapa latihan yang mungkin mengandungi isi penting. Isi tersebut boleh ditambah terus ke dalam nota. Melalui cara ini, nota pintar boleh dikembangkan mengikut keperluan.
Susun secara sistematik
- Pastikan setiap nota disusun secara sistematik bagi mengelakkan nota hilang atau sukar dicari ketika diperlukan.
Masa membuat nota
- Masa yang terbaik untuk membuat nota adalah hari yang sama mempelajari pelajaran baru. Ini kerana, isi penting yang dipelajari masih segar dalam ingatan. Sekiranya kesuntukan masa, nota boleh dibuat pada hujung minggu. Cuba sedaya upaya untuk mengelakkan ‘hutang nota’ dan pastikan semua nota dapat diselesaikan sebelum bertimbun.
Comments
Post a Comment