![]() |
“Sekiranya saya diberi masa 1 jam bagi menyesaikan satu masalah, saya akan menggunakan 55 minit bagi mengenalpasti masalah tersebut dan 5 bagi menyelesaikannya” - Albert Einstein. |
Kebanyakan pelajar cenderung menumpukan lebih perhatian membuat latihan dan mengulang kaji subjek yang diminati. Namun, bagi mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan, seseorang pelajar perlu mendapat keputusan cemerlang dalam setiap mata pelajaran.
Terdapat sesetengah pelajar memandang kelemahan sebagai satu masalah yang ditakuti atau perlu diabaikan. Ini adalah pandangan yang tidak dapat membantu meningkatkan prestasi.
Salah satu perkara penting dalam pembelajaran secara pintar adalah mengenal pasti kelemahan dan mengatasinya secara sistematik ketika mengulang kaji. Ini akan menghasilkan ulang kaji yang lebih efektif.
Ikuti kaedah di bawah bagi mengenal pasti kelemahan dan mengulang kaji secara efektif :
Merekodkan keputusan peperiksaan dan latihan.
- Buat jadual bagi merekodkan keputusan peperiksaan mengikut mata pelajaran. Masukkan keputusan beserta tarikh. Pastikan maklumat tersebut tepat dan lengkap.
Lakukan analisis daripada keputusan yang diperoleh.
- Lakukan analisa bagi mengenal pasti subjek yang lemah dan subjek yang telah diperbaiki. Analisa ini perlu dilakukan sekurang-kurangnya seminggu sekali.
Perancangan ulang kaji.
- Luangkan sedikit masa pada setiap minggu untuk membuat perancangan ulang kaji berdasarkan analisa keputusan. Utamakan subjek yang perlu diperbaiki dan rancang untuk melakukan lebih banyak latihan atau mengulang kaji nota bagi subjek tersebut.
- Pastikan perancangan ulang kaji tidak tertumpu kepada subjek yang sama. Gunakan peraturan 80 nisbah 20 (80:20) iaitu 80% bagi mengulang kaji subjek yang lemah manakala 20% selebihnya bagi mengulang kaji subjek yang telah dikuasai.
- Pelajar yang membuat perancangan dengan baik dapat manfaatkan masa ulang kaji dengan lebih berkesan.
Tindakan - ulang kaji mengikut perancangan.
- Tiada kejayaan tanpa tindakan. Disiplinkan diri dan luangkan masa secukupnya bagi mengulang kaji pelajaran mengikut perancangan. Pastikan setiap perancangan mingguan dilaksanakan secara ketat dan teratur.
Mempunyai buku persoalan atau ingin tahu.
- Setiap kali menjumpai perkara yang tidak dapat difahami ketika mengulang kaji, catitkan perkara tersebut di dalam buku khas. Kemudian cuba selesaikannya dengan merujuk kepada buku rujukan, rakan atau guru mengikut keselesaan. Pastikan jawapan yang diperoleh juga dicatit di bawah persoalan bagi rujukan pada masa hadapan.
Langkah-langkah di atas merupakan cara pembelajaran secara pintar yang dapat membantu pelajar mengenal pasti kelemahan diri, menjelaskan matlamat ulang kaji, memperbaiki kelemahan dan menguasai setiap mata pelajaran dengan baik.
Comments
Post a Comment